Advertising

Sunday, 29 July 2012

Gambar: Siti Nurhaliza Hiasi Pancaindera & Koleksi Kosmetik Khas Raya


Jarang jarang untuk kami paparkan wajah muka hadapan untuk sisipan akhbar & kali ini pun kami berminat dek kerana ia’nya menampilkan selebriti berpengaruh Dato’ Siti Nurhaliza.

Sisipan Pancaindera bersama Mingguan Malaysia hari ini memaparkan kisah nostalgia berpuasa Siti Nurhaliza yang kami rasa sudah saban tahun di’ulang tetapi tetap menarik.

Dato’ Siti Nurhaliza berkongsi cerita tentang bagaimana beliau menjaja kuih di’sekitar kediaman sepanjang Ramadhan dan pernah curi curi minum air paip kerana dahaga.

Berbicara tentang sambutan Aidilfitri, Siti Nurhaliza mengakui yang beliau belum membuat sebarang persiapan kerana masih awal & belum pun memutuskan untuk beraya di’mana.

Dalam dunia perniagaan, selebriti yang tampil dengan jenama SimplySiti ini akan mengeluarkan satu koleksi kosmetik khas bersempena Aidilfitri dengan kerjasama Habib Jewels.

Di’beri nama Bejeweled, siri koleksi kosmetik ini akan tampil dalam dua koleksi, Sapphire dan Ruby. Mengambil kecantikan permata sebagai ilham, koleksi ini di’rumus khas dengan permata berlian, delima dan mutiara sebenar. Kisah lanjut, dapatkan naskah Mingguan Malaysia anda hari ini.



Dapatkan Pelbagai Jenis Baju dan Tudung Raya di Galeri Tudung KLIK!..

Saturday, 28 July 2012

Jangan Pertikai Isu Tawaran Kerja Kerana Bertudung – Sheila Rusly


Jika semalam Umie Aida menulis kenyataan di Twitter-nya mengatakan orang yang cetek pemikiran sahaja berfikir begitu (soal tudung), hari ini melalui mStar Online, Sheila Rusly dan beberapa orang selebriti lain turut tidak bersetuju dengan pendapat yang dikeluarkan oleh Abby Abadi.

Bagi Sheila Rusly yang sudah hampir 5 tahun ‘berhijrah’ memakai tudung, tidak ada isu tawaran berlakonnya semakin merosot dan dia mengaku tidak pernah nampak masalah timbul pada artis bertudung.

“Sudah lima tahun saya bertudung dan rezeki tidak putus sehingga kini. Sebagai pelakon dan penerbit, saya tidak nampak sebarang masalah timbul kepada artis bertudung. Di Malaysia, kita ada banyak saluran televisyen, malah ada saluran Islamik yang membolehkan penghasilan banyak drama berunsurkan Islam. Ini sekali gus memberikan jaminan platform kepada aktres wanita yang sudah bertudung.”

Sheila juga berkeras bahawa isu bertudung tidak wajar dianggap sebagai penyekat pintu rezeki.

“Jadi, tidak wajar isu bertudung dianggap penyekat periuk nasi dan rezeki dalam bidang seni pula. Ada banyak jalan cuma kita perlu bersabar dan terus berikhtiar,” katanya.

Apa yang lebih pasti, Sheila turut memberitahu bahawa niat untuk berhijrah adalah kerana Tuhan. Jika seseorang artis itu mengeluh selepas berhijrah, maka ia seolah-olah mereka tidak ikhlas berhijrah.

“Jangan pertikai isu tawaran lakonan atau kerja merosot hanya kerana kita bertudung. Artis terbabit kena sedar niat kita berhijrah ini kerana Allah. Maka, percayalah takkan Allah mahu tutup rezeki jika kita berubah ke arah kebaikan? Kalau seseorang artis mengeluh mengenai nasib dan kesan daripada keputusan bertudung itu, ia seolah-olah mereka tidak ikhlas berhijrah.” – Sheila Rusly.

Antara artis yang turut tidak bersetuju dengan pendapat Abby Abadi di Malaysian Insider termasuklah Aida Khalida dan Wardina Saffiyah.

Ditipu beli baju kurung di Facebook


PADANG BESAR – Impian lima rakan sekerja untuk melaram baju kurung baharu yang didakwa dibeli melalui sebuah kedai pakaian di laman sosial, Facebook bagi menyambut Aidilfitri nanti berkecai setelah pakaian yang dipesan tidak diterima.

Kesemua mereka bertugas di sebuah institut pengajian tinggi di sini kerugian RM520 berikutan 10 pasang baju kurung yang dipesan itu tidak diterima selepas membuat bayaran pada 19 Julai lalu.

Seorang mangsa, Nohasihida Mat Yazid, 26, berkata, pengendali kedai laman sosial tersebut didakwa telah menutup akaun Facebook tersebut selepas dua hari membuat bayaran.

“Kami amat terkilan dengan taktik pengendali laman Facebook itu yang mengambil kesempatan sempena hari raya ini untuk menipu orang ramai dan hasrat kami untuk membeli baju raya tidak kesampaian,” katanya di sini semalam.

Menurut Nohashida, dia tertarik untuk membeli baju kurung di laman pengendali tersebut ekoran harga yang ditawarkan murah berbanding kedai lain dan pakaian yang ditonjolkan itu cantik serta mempunyai ciri serba moden berlabuci.




“Harga baju kurung yang dijual di kedai pengendali laman sosial itu sekitar RM90 sepasang, jimat RM100 dari kedai di luar dan apabila kita membeli dalam kuantiti lebih 10 pasang, kedai tersebut menurunkan harga kepada RM50 sepasang,” ujarnya.

Geng Boboy Rawang tumpas


SHAH ALAM – Penjenayah bergelar Geng Boboy Rawang yang baru enam bulan berjinak-jinak untuk menjadi penyamun kereta handalan terbantut apabila ketua kumpulan itu dan 15 ahlinya diberkas dalam beberapa siri tangkapan baru-baru ini.

Kesemua 16 anggota kumpulan itu ditahan dalam Ops Lejang selama 10 hari bermula 10 Julai lalu. Bersama suspek-suspek yang ditahan, polis menemui 12 buah kereta pelbagai jenis, tiga enjin kenderaan dan beberapa komponen motosikal curi yang kesemuanya bernilai lebih RM300,000.

Gelaran Geng Boboy Rawang sempena nama panggilan ketuanya seorang remaja berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah. Kumpulan itu menyamun kenderaan di sekitar Lembah Klang sebelum melakukan kerja-kerja mengubah suai pada nombor casis dan enjin setiap kenderaan curi di sebuah rumah kedai di kawasan Rawang dekat sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas kumpulan tersebut mencuri sebuah kereta Proton Satria GTi seorang pelajar sebuah universiti yang diletakkan di kawasan flat di Seksyen 16 di sini pada 10 Julai lalu.

Menurut beliau, polis yang menjalankan siasatan terhadap kehilangan kereta pelajar itu berjaya mengesan kenderaan tersebut di kawasan Taman Kota Cheras, Batu 9, Cheras.

“Bersama kereta Satria GTi polis menahan dua suspek termasuk Boboy Rawang ketika mereka berada di dalam kereta tersebut.

“Pemeriksaan dalam kereta tersebut menemui pelbagai peralatan untuk mencuri kenderaan seperti batang besi yang diubah suai, tukul besi, pemutar skru dan kunci pendua pelbagai jenis,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Katanya, siasatan ke atas kedua-dua suspek membawa kepada penahanan 14 lagi suspek bersama 11 buah kereta dan komponen kereta curi di sekitar Rawang, Puchong dan Klang.

Antara kereta yang ditemui ialah Proton Waja, Proton Wira, Proton Perdana, Honda Civic, Honda Accord dan Toyota Levin.

“Kumpulan ini menyasarkan kenderaan dilengkapi enjin berkuasa tinggi untuk dicuri.

“Selepas dicuri, kenderaan tersebut dibawa ke sebuah premis di Rawang bagi mengubah suai nombor casis dan nombor enjin pada kenderaan tersebut,” kata beliau.

Bapa ajar anak curi motosikal


KOTA KINABALU - Seorang bapa seharusnya memberi contoh baik kepada anak-anak namun lain pula yang berlaku kepada seorang ketua keluarga yang menurunkan ilmu menjadi penjenayah kepada ketiga-tiga anak lelakinya.

Lelaki berusia 47 tahun itu dipercayai memberi latihan kepada ketiga-tiga anaknya yang berusia 18 hingga 25 tahun untuk mencuri motosikal untuk dijadikan sumber rezeki.

Bapa dan tiga orang anak lelakinya itu diberkas pada pukul 12.40 pagi, 25 Julai lalu di sebuah kedai berhampiran kawasan Taman Putera Jaya, Telipok.

Ketiga-tiga anak lelaki tersebut masih bujang. Empat beranak itu penganggur.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, penangkapan empat beranak itu ekoran laporan seorang mangsa yang kehilangan sebuah motosikalnya di sebuah institusi pengajian tinggi di bandaraya ini baru-baru ini.

Menurut beliau, bersama dengan penangkapan tersebut polis merampas tiga buah motosikal curi jenis Honda EX5 bersama empat beranak terbabit.

"Soal siasat terhadap empat beranak berkenaan membawa kepada penahanan suspek kelima berusia 26 tahun di tepi jalan di Taman Putera Jaya," kata beliau,

Suspek kelima itu dipercayai bersubahat dengan empat beranak itu untuk melakukan jenayah curi motosikal sejak April lalu.

Nilai rampasan membabitkan tiga buah motosikal itu berjumlah RM10,000.

Ahmad Sofi memberitahu, modus operandi pencuri motosikal itu ialah menyasarkan motosikal yang diletakkan di kawasan tersembunyi di sekitar bandar raya ini.

"Penjenayah tersebut menggunakan pemutar skru bagi membuka enjin motosikal sebelum menyambungkan wayar untuk menghidupkan enjinnya," kata beliau.

Kembar Siam berjaya dipisah




KUALA LUMPUR – Pakar-pakar perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mencatat satu lagi sejarah apabila berjaya memisahkan kembar Siam berusia setahun yang berasal dari Segamat, Johor dan bercantum di bahagian tulang pinggul baru-baru ini.

Mereka yang terdiri daripada 19 pakar bedah dan anastetik serta 36 jururawat dan pegawai perubatan berjaya memisahkan kembar Muaiman Azli dan Muaimin dalam satu pembedahan maraton selama 24 jam.

Pasangan kembar tersebut yang bercantum di bahagian tulang pinggul dan turut berkongsi usus dan saluran kencing tetapi tiada lubang dubur, selamat menjalani pembedahan untuk pemisahan pada 15 Julai lalu.

Ketua Jabatan Bedah Pediatrik HKL, Datuk Dr. Zakaria Zahari berkata, pembedahan tersebut bertujuan memisahkan dan menstrukturkan semula anggota badan kembar tersebut

“Kami berjaya memisahkan mereka pada pukul 10.10 malam pada hari pertama pembedahan iaitu 14 Julai lalu sebelum dua pasukan pakar bedah bertanggungjawab ke atas bayi tersebut masing-masing.

“Mereka kini berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan pembedahan bagi tampalan kulit memandangkan luka pembedahan itu agak besar,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut meluangkan masa melawat kembar berkenaan di Wad Pediatrik, HKL.

Muaiman dan Muaimin telah dilahirkan pada 14 April tahun lalu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sebelum mereka ditempatkan di HKL keesokan harinya iaitu 15 April.

Tambah Zakaria, salah seorang daripada bayi berkenaan akan memiliki satu kaki sahaja memandangkan hanya tiga anggota badan berkenaan yang terbentuk.

“Kita lihat dulu keadaan mereka dalam masa dua minggu. Sekiranya semua berjalan lancar kembar berkenaan akan mula menjalani fisioterapi,” katanya.

Pasar malam tempat tibi menular


KUALA LUMPUR - Siapa sangka pasar malam yang selama ini menjadi tempat tumpuan orang ramai membeli pelbagai barangan basah serta makanan kini menjadi antara kawasan yang berisiko tinggi merebaknya penyakit berjangkit terutamanya tuberculosis atau tibi.

Penyebaran penyakit batuk kering itu dipercayai berpunca daripada kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang membawa virus tibi di tempat-tempat awam terutamanya pasar malam dan menyebarkannya kepada penduduk tempatan.

Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif berkata, situasi itu kini berada pada tahap membimbangkan apabila pada tahun lalu sahaja pihaknya telah menerima kira-kira 1,500 kes dengan 15 peratus daripada penghidapnya terdiri daripada warga asing.

"Kita bimbang dengan angka berkenaan kerana mereka (PATI) ini dilihat semakin ramai berada di kawasan awam seperti pasar malam dan pada masa yang sama menyebarkan virus penyakit tibi," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Beliau memberitahu, pelarian dari Myanmar merupakan antara penyumbang utama penyebaran penyakit tibi terutamanya di sekitar ibu negara khususnya di kawasan Pudu dan Bukit Bintang.

"Warga Myanmar yang rata-rata kebal kepada ubat penyakit itu biasanya telah pun menghidap tibi sebelum masuk ke negara ini," ujar beliau.

Menurut Abdul Razak, keadaan itu telah meningkatkan risiko penyebaran penyakit tibi dalam kalangan penduduk tempatan yang secara langsung atau tidak langsung berinteraksi dengan mereka.

Katanya, kadar penyebaran penyakit itu dalam kalangan mereka juga adalah tinggi kerana golongan tersebut kebiasaannya tinggal beramai-ramai di sebuah rumah.

"Sebuah rumah biasanya didiami oleh kira-kira 40 orang pelarian dan ia memudahkan penyakit itu disebarkan antara mereka kerana keadaan itu pasti mewujudkan sistem pengudaraan yang tidak baik.

"Golongan yang dijangkiti ini pula seterusnya akan ke kawasan awam dan menyebarkan penyakit itu kepada orang ramai," ujarnya.

Selain warga Myanmar, PATI dari Indonesia, Nepal serta Bangladesh turut menyumbang kepada peningkatan penyakit tibi di negara ini.

"Selain pasar malam, pasar-pasar awam juga menjadi kawasan penyebaran penyakit itu seperti Pasar Borong Selayang yang dipenuhi oleh warga Bangladesh," ujarnya.

Drama '99 Kekasih' Mengundang Keinsafan



PETALING JAYA: Bersempena dengan sambutan bulan Ramadan, drama 99 Kekasih bakal mengundang keinsafan dan pengajaran besar buat para penonton.

Bakal disiarkan pada 5 Ogos depan menerusi saluran TVi, 99 Kekasih menampilkan gandingan pelakon utama Erry Pura, Azhan Rani dan Sheera Iskandar.

Ia mengisahkan tentang Danial, seorang kaki perempuan dan sering berfoya-foya dalam kehidupan sehariannya.


Sikapnya buruknya itu mula berubah sejak berkenalan dengan Ayu, gadis yang menyelamatkan dirinya ketika ditimpa kemalangan.

Bagaimanapun, Ayu menghilangkan diri dengan meninggalkan sebuah buku 99 Nama Allah di sisi Danial.

Sejak membaca buku itu, Danial mula berubah sikap dan berharap agar dapat berjumpa dengan gadis yang memberinya buku berkenaan dan harapannya tercapai apabila dia terjumpa sehelai kertas yang mengandungi alamat Ayu.


Danial memberanikan diri untuk berjumpa sendiri dengan Ayu. Selepas beberapa lama berkenalan, Ayu diculik Nina, bekas kekasih Danial yang bengang kerana cintanya tidak dibalas lelaki itu.


Selepas menyelamatkan Ayu yang cedera parah, Danial menghantarnya terus ke hospital dan menderma darah kepada wanita yang dicintainya itu.

Namun, Danial mendapati bahawa dia menghidap HIV positif selepas menderma darah kepada Ayu.

Untuk mengetahui kesudahan penceritaan drama ini, apakah kedua-duanya dapat bersatu atau sebaliknya, saksikan 99 Kekasih pada 5 Ogos ini, pukul 12 tengah hari.

Bekas Isteri Hattan Saman Blog Hiburan Siar Artikel Fitnah


KUALA LUMPUR: Bekas isteri penyanyi popular Hattan menfailkan saman bagi menuntut ganti rugi RM1 juta terhadap pemilik blog hiburan Oh Bulan! kerana menyiarkan artikel fitnah mengenainya.

Noorfarashikin Othman, 32, seorang peniaga, menfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi, pada 3 Julai lalu melalui Tetuan Ranjit Singh & Yeoh dengan menamakan Driven Communications Sdn Bhd sebagai defendan.

Noorfarashikin bercerai dengan Hattan atau nama sebenarnya Datuk Mohd Shukri Sahabuddin selepas dua bulan berkahwin.

Hari ini kes saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin.

Peguam Nizam Bashir yang mewakili Noorfarashikin memberitahu media bahawa mahkamah menetapkan 10 Ogos ini bagi defendan menfailkan pembelaan dan juga pengurusan kes.

Dalam pernyataan tuntutannya, wanita itu antara lain memohon ganti rugi am berjumlah RM1 juta, ganti rugi khas, teruk, teladan dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Noorfarashikin mendakwa pada Januari lepas defendan melalaui laman webwww.ohbulan.com telah menerbitkan satu artikel.

Beliau berkata artikel itu antara lain bermaksud beliau merupakan seorang yang curang, tidak boleh dipercayai dan isteri yang tidak setia.

Wanita itu berkata reputasi peribadi dan profesionalnya telah rosak dan beliau mengalami kesedihan, rasa malu dan tersinggung perasaan akibat penyiaran artikel itu.

Terdahulu, Hattan dan Farah Asyikin, 34, bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah pada 12 januari lalu selepas disatukan pada 11 November 2011 di kediaman penyanyi tersebut di Seri Menanti. - BERNAMA

Sambutan Suram Sebagai Penyanyi Paksa Rizal (AF) Jadi Pelakon


PETALING JAYA: Bekas bintang program realiti Akademi Fantasia ke-5 (AF5), Rizal Ayub mengakui sambutan suram terhadap karier nyanyiannya antara sebab dia lebih banyak tumpuan dalam bidang lakonan.

Rizal atau nama sebenarnya Hasfarizal Ayub, 25, bagaimanapun berkata, itu tidak bererti dia sudah melupakan dunia nyanyian kerana masih mencintai bidang itu.

"Mungkin sekarang bukan rezeki saya untuk menyinar sebagai penyanyi tambahan pula trend muzik sekarang berbeza namun keinginan untuk kembali ke pentas tidak pernah pudar.

"Alhamdulillah tawaran berlakon pula semakin banyak dan saya mengambil peluang dan rezeki ini sebagai ruang untuk memperbaiki diri selain mempelbagaikan cabang karier saya sebagai artis," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, Rizal tidak menafikan masih ada menerima tawaran menyanyi dan berharap kedua-duanya dapat berjalan seiring pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Rizal memberitahu walaupun sedikit kecewa apabila lagu-lagunya jarang berkumandang di stesen radio tempatan dia tidak pernah berputus asa sebaliknya menggunakan cara lain untuk mempromosikan lagu berkenaan.

Menurut Rizal, dia beruntung kerana beberapa syarikat produksi sudi untuk menggunakan lagunya sebagai lagu tema telefilem ataupun drama bersiri sekali gus dapat memberikan promosi kepadanya.

"Nasib baik juga ada yang mahukan lagu saya dijadikan sebagai lagu tema drama-drama dan cara itu boleh menarik perhatian penonton yang mendengar lagu itu.

"Malah single saya yang berjudul Suatu Ketika Dulu yang menjadi lagu latar drama bersiriKekasihku Puyu di TV3 mendapat perhatian penonton sehingga ada yang bertanyakan adakah benar saya yang menyanyikan lagu itu," katanya.

Tambah Rizal, dia juga tidak kisah jika ada pihak melabelkan dirinya sebagai penyanyi lagu tema drama kerana dia telah melakukan yang terbaik bagi mempromosikan lagu berkenaan.

Sementara itu, Rizal memberitahu dia sangat berpuas hati dengan syarikat pengurusannya iaitu Aquila Emas dan sepanjang tempoh setahun bersama mereka karier lakonannya semakin meningkat.

Rizal juga memberitahu dia bakal muncul dengan single terbaru dan kini masih lagi dalam proses penghasilan lagu tersebut selain sebuah telefilem berjudul Bertemu Kasih terbitan syarikat pengurusan itu..
Blogged.my Ping your blog, website, or RSS feed for Free
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...