Advertising

Sunday 29 July 2012

Siapakah Perdana Menteri Malaysia yang sebenar??


Ni gambar yang MTS jumpa di facebook. pagi2 dah ada buat ketawa! hahaha.

klik sini..



Harimau Malaya sudah bersedia


MALAYSIA sudah bersedia untuk 'melayan' juara Liga Perdana England, Manchester City di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal berkata, keazaman untuk melakarkan kejutan ke atas skuad kendalian Roberto Mancini itu sangat ketara kerana ia dianggap sebagai jalan terbaik bagi 'menebus' kekecewaan selepas tewas tipis 1-2 kepada Arsenal, Selasa lalu.

Begitupun, Rajogobal tidak mahu memberikan sebarang tekanan kerana beliau inginkan anak-anak buahnya mengulangi semangat dan keyakinan tinggi yang dipamerkan ketika menentang skuad The Gunners.

Beliau yakin skuad negara akan memanfaatkan peluang dan pengalaman pada aksi menentang Arsenal dan skuad The Citizens sebagai persiapan serta pendedahan terbaik menjelang kempen Piala Suzuki AFF bermula November depan.

"Keyakinan itu berbeza berbanding sebelum ini. Saya mahu mereka (Harimau Malaya) kekalkan keyakinan itu dan teruskan kesungguhan dalam setiap perlawanan.

"Bermain dengan pasukan, pemain terkenal seperti City dapat meningkatkan motivasi serta kesungguhan pemain kepada suatu tahap yang berbeza.

"Kalau kita boleh bermain dengan baik atau sekurang-kurangnya mencipta peluang untuk jaringan gol menentang pemain-pemain terbaik di dunia, itu adalah tanda-tanda yang baik bagi persiapan Piala Suzuki AFF.

"Saya mahu lihat pemain kita yang mana 'jangan terlalu takut', bermain dengan keyakinan tanpa sebarang tekanan.

"Mungkin (lebih penting adalah) kita mahu mengingatkan kepada pemain agar tidak mengulangi kesilapan ketika menentang Arsenal," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sempena ketibaan City di Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan semalam.

Ditanya mengenai perubahan corak taktikal ketika melayan kunjungan City, Rajagobal menegaskan yang beliau perlu mencari pemain-pemain alternatif selepas senarai kecederaan pemain semakin meningkat.

Tambahnya, beliau berharap mentaliti penyokong berubah lebih ke arah positif kerana ketika ini skuad negara dalam proses 'pembelajaran' bagi menentang Arsenal dan City.

"Saya terpaksa menggantikan pemain selepas Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Subramaniam, Mohd. Bunyamin Umar dan Mohd. Azmi Muslim mengalami kecederaan ketika menentang Arsenal," katanya.

Sementara itu, Mancini yang menyaksikan City menewaskan Arsenal 2-0, pada aksi persahabatan di Hong Kong kelmarin menganggap kunjungan pertama ke ibu negara sangat istimewa.

Katanya, beliau bersedia untuk memberikan aksi terbaik ketika menentang Harimau Malaya dan mahu menilai sebahagian pemain bagi diserapkan ke skuad utama.

"Saya harap perlawanan ini dapat membantu kami mempertingkatkan keupayaan pasukan.

"Apa yang boleh saya beritahu, saya mahu jadikan perlawanan itu lebih baik.

"Walaupun hanya aksi persahabatan, ianya cukup penting kerana ia membabitkan jelajah pramusim untuk menilai kelemahan dan kelebihan pasukan kami.

"Saya akan memastikan yang terbaik pada perlawanan (menentang Harimau Malaya) itu," katanya.



Dapatkan Pelbagai Jenis Baju dan Tudung Raya di Galeri Tudung KLIK!..


Lagu raya Dafi


SEJAK kebelakangan ini, Dafi atau nama sebenar Ghadaffi Ismail Sabri banyak menghabiskan masa di negara jiran, Indonesia.

Mengendalikan program Selebrita Siang yang bersiaran pada pukul 12 tengah hari, setiap Isnin hingga Rabu di saluran Trans7, Dafi mengaku kehidupan di negara orang membuatkan masanya lebih banyak habis di set penggambaran dan rumah. Dia juga menegaskan bahawa sejak bekerja dengan tenaga kerja luar, dia berasakan Malaysia mempunyai kualiti kerja yang bagus berbanding negara-negara lain.

"Bagi orang yang merasakan negara lain lebih berkualiti daripada Malaysia, saya mahu katakan bahawa kualiti dan tenaga kerja kita adalah setanding dengan negara lain," ujarnya yang ditemui ketika majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim Rumah Amal Limpahan Kasih tajaan Hotel Royale Bintang, The Curve pada Selasa lalu.

Dalam selang masa sibuk membawa nama sendiri dan negara di negara luar, Dafi sempat juga merakamkan sebuah lagu raya yang memang sudah lama diidamkannya.

"Saya memang sudah lama mahukan sebuah lagu raya sendiri. Sebelum ini hanya menyanyi beramai-ramai lepas keluar Akademi Fantasia dahulu. Kini salah satu impian saya tercapai," ujarnya yang menyanyikan lagu Nikmat Lebaran gubahan Pak Ngah dan lirik oleh Siso.



Dapatkan Pelbagai Jenis Baju dan Tudung Raya di Galeri Tudung KLIK!..



Rozita serasi watak kelakar


KISAH cinta semusim Rozita Che Wan bersilih ganti dan dia tidak pernah sepi tanpa gosip. Pernah hangat dengan kisah asmara bersama juara Akademi Fantasia, Shahir, dia kemudian dikaitkan dengan Zain Saidin dan Beego. Janda popular yang mesra disapa Che Ta itu ternyata masih mampu tersenyum.

Che Ta juga pernah didakwa berkahwin dengan Datuk K, suami kepada Datuk Siti Nurhaliza. Terbaharu, gosip tiga tahun lalu mengenai perkenalannya dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Asraruddin Putra Omar, 24, kembali diangkat. Seperti kisah lama yang diungkit, Che Ta didakwa sebagai individu yang bertanggungjawab dalam menjadikan Asraruddin semakin bergaya.

“Entahlah, saya pun tak tahu apa ceritanya. Tiba-tiba sahaja keluar balik cerita lama. Saya okey sahaja, hari-hari pergi lokasi penggambaran, balik rumah, makan dan tidur,” ketawa daripada bibirnya menunjukkan sedikitpun perasaan kurang senang tidak terlintas di hati.

Tambahnya: “Mungkin sebab saya ni janda, jadi apa sahaja cerita, cepatlah ia jadi buah mulut. Lagipun saya ini peramah dan kelakar, sebab itu orang mudah mesra.”

Sedang sibuk di lokasi penggambaran telefilem raya bertajuk Lepas Raya Harap Balas, Rozita meluahkan rasa gembira kerana sekali lagi berpeluang beraksi dalam naskhah skrip yang ditulis oleh Azlina Pa’wan.

“Agaknya saya memang serasi dengan watak komedi. Selepas drama Miss Octopus (juga tulisan Azlina), saya kini diberi satu lagi karakter yang menarik dalam Lepas Raya Harap Balas, ia juga arahan Jamal Khan, pengarah yang sama untuk Miss Octopus,” ujarnya yang kini menghiburkan ramai dengan siri Miss Octopus di TV3.

Bercakap tentang karakter Dr. Oktober, anak dara tua yang bekerja sebagai pensyarah dalam siri tersebut, Rozita menyifatkan itu pengalaman pertamanya melakonkan watak sedemikian.

“Mula-mula dia (Oktober) nampak macam garang, bergaduh dengan pelajar, fobia dengan perkahwinan dan kemudian jatuh cinta dan tergila-gila pula dengan lelaki muda lakonan Fahrin Ahmad yang tidak sukakannya,” ujar Rozita tidak langsung menganggap sikap Oktober itu ada kaitan dengan dirinya.

Bakal bercuti bermula 16 Ogos hingga 1 September, kata Rozita, biarpun sibuk dengan jadual penggambaran, segala persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri sudahpun tidak perlu dirisaukan.

“Baju saya dan anak-anak semuanya sudah tergantung, tunggu nak pakai sahaja. Tahun ini, anak-anak beraya bersama bekas suami di Kuala Lumpur. Saya pula akan pulang berhari raya di Alor Setar bersama keluarga,” tutupnya yang dijadualkan ke Jepun sekitar September nanti untuk penggambaran drama Kiah Pekasam musim ketiga.

Bakal bertukar ke lokasi P. Aku Diva dalam masa terdekat, kata Rozita sepanjang musim raya nanti, dia bakal ke udara dengan lapan buah telefilem yang akan disiarkan di beberapa saluran televisyen.



Dapatkan Pelbagai Jenis Baju dan Tudung Raya di Galeri Tudung KLIK!..



Najib antara 25 pemimpin dunia aktif di Twitter


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disenaraikan sebagai seorang daripada 25 pemimpin dunia yang paling aktif berhubungan di Twitter, dalam laporan yang diterbitkan oleh Burson-Marsteller.

Laporan yang diterbitkan baru-baru ini, dikenali sebagai Twiplomacy, merupakan kajian pertama seumpamanya di peringkat global mengenai pemimpin-pemimpin dunia di Twitter.

Laporan itu meletakkan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama sebagai pemimpin dunia yang perkembangannya paling banyak diikuti di Twitter manakala akaun Najib sebagai nombor 2 di Asia dan nombor 17 di dunia daripada 254 ketua kerajaan dan negara dan institusi mereka. - Bernama




Dapatkan Pelbagai Jenis Baju dan Tudung Raya di Galeri Tudung KLIK!..

Pusat tuisyen hina sahabat Nabi


LEDANG - Sebuah pusat tuisyen di Tangkak dekat sini didakwa bertindak biadab memaparkan karikatur menghina para sahabat Nabi Muhammad S.A.W. dalam nota ringkas mata pelajaran Sejarah bagi pelajar tingkatan empat di pusat berkenaan.

Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin berkata, pusat tuisyen tersebut melukiskan 16 karakter sahabat nabi dalam bentuk kartun dengan watak berbeza dan bahan-bahan tersebut disediakan tenaga pengajarnya dikenali sebagai Mr. Fu.

"Antara karikatur yang keterlaluan ialah lukisan seorang sahabat nabi yang dilukis dengan wajah khinzir. Imej seorang lagi pula diletakkan gambar wanita dengan bahagian dadanya ditutup dengan tulisan Cina, selain ada yang dikelilingi tiga wanita


Dapatkan Pelbagai Jenis Baju dan Tudung Raya di Galeri Tudung KLIK!..

Lima penjenayah berputih mata


KUALA LUMPUR - Sekumpulan lima penjenayah bukan sahaja gagal menyamun malah kesemua mereka cedera selepas kenderaan yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Taman SPPK, Segambut di sini semalam.

Kejadian pada pukul 4 pagi di persimpangan lampu isyarat itu menyebabkan lima suspek berusia 19 hingga 25 tahun itu cedera apabila kereta Proton Waja yang mereka curi, bertembung dengan sebuah kereta Proton Persona yang dinaiki oleh lima wanita warga Thailand.

Seorang daripada suspek terbabit cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur manakala lima wanita warga asing berkenaan cedera ringan.

Empat lagi suspek lain pula dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut selepas cedera ringan.



Dapatkan Pelbagai Jenis Baju dan Tudung Raya di Galeri Tudung KLIK!..

(9 GAMBAR)Shila Amzah Bertudung Di Bulan Ramadhan, Cute Level +9999


Nampaknya di bulan Ramadhan yang mulia ini, selebriti-selebriti tempatan terutamanya wanita mencuba sehabis baik untuk menghormatinya dengan memakai tudung. Salah seorang daripadanya tak lain tak bukan ialah Shila Amzah. Serius kecomelan Shila jelas kelihatan apabila bertudung.

Mana tahu dengan latihan bertudung di bulan Ramadhan ini, suatu hari nanti Shila Amzah akan terbuka untuk berhijab sepenuhnya. Sama-samalah kita doakan. Lagi 8 keping gambar Shila Amzah bertudung dengan membaca entri ini sepenuhnya.










Dapatkan Pelbagai Jenis Baju dan Tudung Raya di Galeri Tudung KLIK!..


(10 GAMBAR)Diana Amir Semakin Lama Semakin Ayu Berhijab




Abang Nara suka dengan cara pemakaian tudung Diana Amir. Sesetengah selebriti wanita yang berhijab kadang-kadang pemakaiannya agak melampau. Nak kata tudung pun dah tak boleh. Kadang-kadang nampak macam kepala dililit dengan lebihan kain langsir yang dibeli di Jalan TAR.













Dapatkan Pelbagai Jenis Baju dan Tudung Raya di Galeri Tudung KLIK!..

Erra Fazira & Engku Emran Buat Persiapan Untuk Aidilfitri Bersama


Masuk minggu kedua kita berpuasa, maka bermulalah kisah persiapan Aidilfitri yang akan menjadi satu soalan lazim para wartawan — dan ini kisah Erra Fazira & Engku Emran.

Satu Malaysia rasanya tahu gossip rumahtangga mereka yang belum berkesudahan namun ini ada sedikit perkembangan positif untuk anda yang tertanya tanya.

Dalam kenyataan kepada Harian Metro baru baru ini, Erra Fazira berkata beliau kini sudah pun memulakan persiapan Aidilfitri bersama suami, Engku Emran untuk mereka sekeluarga.

Erra Fazira kini sibuk dengan persiapan untuk pementasan Tun Siti Hasmah selain turut terlibat di’lokasi untuk drama Mana Hilangnya Juwita? & perniagaan hamper raya beliau.

“Kalau bercakap soal persiapan, fokus saya lebih kepada Aleesya. Setakat ini saya ada tiga pasang baju raya untuknya dan hujung Ramadan nanti, saya akan beli lagi. Tahun lalu dia ada 10 pasang baju raya,” ujar Erra Fazira.

Menurut Erra Fazira lagi, beliau lebih gemar membuat persiapan penuh di akhir Ramadhan kerana lebih terasa nikmatnya untuk menyambut Aidilfitri dan turut menyebut yang mereka sekeluarga belum tahu beraya di’mana tahun ini.






Dapatkan Pelbagai Jenis Baju dan Tudung Raya di Galeri Tudung KLIK!..


Gambar: Siti Nurhaliza Hiasi Pancaindera & Koleksi Kosmetik Khas Raya


Jarang jarang untuk kami paparkan wajah muka hadapan untuk sisipan akhbar & kali ini pun kami berminat dek kerana ia’nya menampilkan selebriti berpengaruh Dato’ Siti Nurhaliza.

Sisipan Pancaindera bersama Mingguan Malaysia hari ini memaparkan kisah nostalgia berpuasa Siti Nurhaliza yang kami rasa sudah saban tahun di’ulang tetapi tetap menarik.

Dato’ Siti Nurhaliza berkongsi cerita tentang bagaimana beliau menjaja kuih di’sekitar kediaman sepanjang Ramadhan dan pernah curi curi minum air paip kerana dahaga.

Berbicara tentang sambutan Aidilfitri, Siti Nurhaliza mengakui yang beliau belum membuat sebarang persiapan kerana masih awal & belum pun memutuskan untuk beraya di’mana.

Dalam dunia perniagaan, selebriti yang tampil dengan jenama SimplySiti ini akan mengeluarkan satu koleksi kosmetik khas bersempena Aidilfitri dengan kerjasama Habib Jewels.

Di’beri nama Bejeweled, siri koleksi kosmetik ini akan tampil dalam dua koleksi, Sapphire dan Ruby. Mengambil kecantikan permata sebagai ilham, koleksi ini di’rumus khas dengan permata berlian, delima dan mutiara sebenar. Kisah lanjut, dapatkan naskah Mingguan Malaysia anda hari ini.



Dapatkan Pelbagai Jenis Baju dan Tudung Raya di Galeri Tudung KLIK!..

Saturday 28 July 2012

Jangan Pertikai Isu Tawaran Kerja Kerana Bertudung – Sheila Rusly


Jika semalam Umie Aida menulis kenyataan di Twitter-nya mengatakan orang yang cetek pemikiran sahaja berfikir begitu (soal tudung), hari ini melalui mStar Online, Sheila Rusly dan beberapa orang selebriti lain turut tidak bersetuju dengan pendapat yang dikeluarkan oleh Abby Abadi.

Bagi Sheila Rusly yang sudah hampir 5 tahun ‘berhijrah’ memakai tudung, tidak ada isu tawaran berlakonnya semakin merosot dan dia mengaku tidak pernah nampak masalah timbul pada artis bertudung.

“Sudah lima tahun saya bertudung dan rezeki tidak putus sehingga kini. Sebagai pelakon dan penerbit, saya tidak nampak sebarang masalah timbul kepada artis bertudung. Di Malaysia, kita ada banyak saluran televisyen, malah ada saluran Islamik yang membolehkan penghasilan banyak drama berunsurkan Islam. Ini sekali gus memberikan jaminan platform kepada aktres wanita yang sudah bertudung.”

Sheila juga berkeras bahawa isu bertudung tidak wajar dianggap sebagai penyekat pintu rezeki.

“Jadi, tidak wajar isu bertudung dianggap penyekat periuk nasi dan rezeki dalam bidang seni pula. Ada banyak jalan cuma kita perlu bersabar dan terus berikhtiar,” katanya.

Apa yang lebih pasti, Sheila turut memberitahu bahawa niat untuk berhijrah adalah kerana Tuhan. Jika seseorang artis itu mengeluh selepas berhijrah, maka ia seolah-olah mereka tidak ikhlas berhijrah.

“Jangan pertikai isu tawaran lakonan atau kerja merosot hanya kerana kita bertudung. Artis terbabit kena sedar niat kita berhijrah ini kerana Allah. Maka, percayalah takkan Allah mahu tutup rezeki jika kita berubah ke arah kebaikan? Kalau seseorang artis mengeluh mengenai nasib dan kesan daripada keputusan bertudung itu, ia seolah-olah mereka tidak ikhlas berhijrah.” – Sheila Rusly.

Antara artis yang turut tidak bersetuju dengan pendapat Abby Abadi di Malaysian Insider termasuklah Aida Khalida dan Wardina Saffiyah.

Ditipu beli baju kurung di Facebook


PADANG BESAR – Impian lima rakan sekerja untuk melaram baju kurung baharu yang didakwa dibeli melalui sebuah kedai pakaian di laman sosial, Facebook bagi menyambut Aidilfitri nanti berkecai setelah pakaian yang dipesan tidak diterima.

Kesemua mereka bertugas di sebuah institut pengajian tinggi di sini kerugian RM520 berikutan 10 pasang baju kurung yang dipesan itu tidak diterima selepas membuat bayaran pada 19 Julai lalu.

Seorang mangsa, Nohasihida Mat Yazid, 26, berkata, pengendali kedai laman sosial tersebut didakwa telah menutup akaun Facebook tersebut selepas dua hari membuat bayaran.

“Kami amat terkilan dengan taktik pengendali laman Facebook itu yang mengambil kesempatan sempena hari raya ini untuk menipu orang ramai dan hasrat kami untuk membeli baju raya tidak kesampaian,” katanya di sini semalam.

Menurut Nohashida, dia tertarik untuk membeli baju kurung di laman pengendali tersebut ekoran harga yang ditawarkan murah berbanding kedai lain dan pakaian yang ditonjolkan itu cantik serta mempunyai ciri serba moden berlabuci.




“Harga baju kurung yang dijual di kedai pengendali laman sosial itu sekitar RM90 sepasang, jimat RM100 dari kedai di luar dan apabila kita membeli dalam kuantiti lebih 10 pasang, kedai tersebut menurunkan harga kepada RM50 sepasang,” ujarnya.

Geng Boboy Rawang tumpas


SHAH ALAM – Penjenayah bergelar Geng Boboy Rawang yang baru enam bulan berjinak-jinak untuk menjadi penyamun kereta handalan terbantut apabila ketua kumpulan itu dan 15 ahlinya diberkas dalam beberapa siri tangkapan baru-baru ini.

Kesemua 16 anggota kumpulan itu ditahan dalam Ops Lejang selama 10 hari bermula 10 Julai lalu. Bersama suspek-suspek yang ditahan, polis menemui 12 buah kereta pelbagai jenis, tiga enjin kenderaan dan beberapa komponen motosikal curi yang kesemuanya bernilai lebih RM300,000.

Gelaran Geng Boboy Rawang sempena nama panggilan ketuanya seorang remaja berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah. Kumpulan itu menyamun kenderaan di sekitar Lembah Klang sebelum melakukan kerja-kerja mengubah suai pada nombor casis dan enjin setiap kenderaan curi di sebuah rumah kedai di kawasan Rawang dekat sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas kumpulan tersebut mencuri sebuah kereta Proton Satria GTi seorang pelajar sebuah universiti yang diletakkan di kawasan flat di Seksyen 16 di sini pada 10 Julai lalu.

Menurut beliau, polis yang menjalankan siasatan terhadap kehilangan kereta pelajar itu berjaya mengesan kenderaan tersebut di kawasan Taman Kota Cheras, Batu 9, Cheras.

“Bersama kereta Satria GTi polis menahan dua suspek termasuk Boboy Rawang ketika mereka berada di dalam kereta tersebut.

“Pemeriksaan dalam kereta tersebut menemui pelbagai peralatan untuk mencuri kenderaan seperti batang besi yang diubah suai, tukul besi, pemutar skru dan kunci pendua pelbagai jenis,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Katanya, siasatan ke atas kedua-dua suspek membawa kepada penahanan 14 lagi suspek bersama 11 buah kereta dan komponen kereta curi di sekitar Rawang, Puchong dan Klang.

Antara kereta yang ditemui ialah Proton Waja, Proton Wira, Proton Perdana, Honda Civic, Honda Accord dan Toyota Levin.

“Kumpulan ini menyasarkan kenderaan dilengkapi enjin berkuasa tinggi untuk dicuri.

“Selepas dicuri, kenderaan tersebut dibawa ke sebuah premis di Rawang bagi mengubah suai nombor casis dan nombor enjin pada kenderaan tersebut,” kata beliau.

Bapa ajar anak curi motosikal


KOTA KINABALU - Seorang bapa seharusnya memberi contoh baik kepada anak-anak namun lain pula yang berlaku kepada seorang ketua keluarga yang menurunkan ilmu menjadi penjenayah kepada ketiga-tiga anak lelakinya.

Lelaki berusia 47 tahun itu dipercayai memberi latihan kepada ketiga-tiga anaknya yang berusia 18 hingga 25 tahun untuk mencuri motosikal untuk dijadikan sumber rezeki.

Bapa dan tiga orang anak lelakinya itu diberkas pada pukul 12.40 pagi, 25 Julai lalu di sebuah kedai berhampiran kawasan Taman Putera Jaya, Telipok.

Ketiga-tiga anak lelaki tersebut masih bujang. Empat beranak itu penganggur.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, penangkapan empat beranak itu ekoran laporan seorang mangsa yang kehilangan sebuah motosikalnya di sebuah institusi pengajian tinggi di bandaraya ini baru-baru ini.

Menurut beliau, bersama dengan penangkapan tersebut polis merampas tiga buah motosikal curi jenis Honda EX5 bersama empat beranak terbabit.

"Soal siasat terhadap empat beranak berkenaan membawa kepada penahanan suspek kelima berusia 26 tahun di tepi jalan di Taman Putera Jaya," kata beliau,

Suspek kelima itu dipercayai bersubahat dengan empat beranak itu untuk melakukan jenayah curi motosikal sejak April lalu.

Nilai rampasan membabitkan tiga buah motosikal itu berjumlah RM10,000.

Ahmad Sofi memberitahu, modus operandi pencuri motosikal itu ialah menyasarkan motosikal yang diletakkan di kawasan tersembunyi di sekitar bandar raya ini.

"Penjenayah tersebut menggunakan pemutar skru bagi membuka enjin motosikal sebelum menyambungkan wayar untuk menghidupkan enjinnya," kata beliau.

Kembar Siam berjaya dipisah




KUALA LUMPUR – Pakar-pakar perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mencatat satu lagi sejarah apabila berjaya memisahkan kembar Siam berusia setahun yang berasal dari Segamat, Johor dan bercantum di bahagian tulang pinggul baru-baru ini.

Mereka yang terdiri daripada 19 pakar bedah dan anastetik serta 36 jururawat dan pegawai perubatan berjaya memisahkan kembar Muaiman Azli dan Muaimin dalam satu pembedahan maraton selama 24 jam.

Pasangan kembar tersebut yang bercantum di bahagian tulang pinggul dan turut berkongsi usus dan saluran kencing tetapi tiada lubang dubur, selamat menjalani pembedahan untuk pemisahan pada 15 Julai lalu.

Ketua Jabatan Bedah Pediatrik HKL, Datuk Dr. Zakaria Zahari berkata, pembedahan tersebut bertujuan memisahkan dan menstrukturkan semula anggota badan kembar tersebut

“Kami berjaya memisahkan mereka pada pukul 10.10 malam pada hari pertama pembedahan iaitu 14 Julai lalu sebelum dua pasukan pakar bedah bertanggungjawab ke atas bayi tersebut masing-masing.

“Mereka kini berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan pembedahan bagi tampalan kulit memandangkan luka pembedahan itu agak besar,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut meluangkan masa melawat kembar berkenaan di Wad Pediatrik, HKL.

Muaiman dan Muaimin telah dilahirkan pada 14 April tahun lalu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sebelum mereka ditempatkan di HKL keesokan harinya iaitu 15 April.

Tambah Zakaria, salah seorang daripada bayi berkenaan akan memiliki satu kaki sahaja memandangkan hanya tiga anggota badan berkenaan yang terbentuk.

“Kita lihat dulu keadaan mereka dalam masa dua minggu. Sekiranya semua berjalan lancar kembar berkenaan akan mula menjalani fisioterapi,” katanya.

Pasar malam tempat tibi menular


KUALA LUMPUR - Siapa sangka pasar malam yang selama ini menjadi tempat tumpuan orang ramai membeli pelbagai barangan basah serta makanan kini menjadi antara kawasan yang berisiko tinggi merebaknya penyakit berjangkit terutamanya tuberculosis atau tibi.

Penyebaran penyakit batuk kering itu dipercayai berpunca daripada kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang membawa virus tibi di tempat-tempat awam terutamanya pasar malam dan menyebarkannya kepada penduduk tempatan.

Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif berkata, situasi itu kini berada pada tahap membimbangkan apabila pada tahun lalu sahaja pihaknya telah menerima kira-kira 1,500 kes dengan 15 peratus daripada penghidapnya terdiri daripada warga asing.

"Kita bimbang dengan angka berkenaan kerana mereka (PATI) ini dilihat semakin ramai berada di kawasan awam seperti pasar malam dan pada masa yang sama menyebarkan virus penyakit tibi," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Beliau memberitahu, pelarian dari Myanmar merupakan antara penyumbang utama penyebaran penyakit tibi terutamanya di sekitar ibu negara khususnya di kawasan Pudu dan Bukit Bintang.

"Warga Myanmar yang rata-rata kebal kepada ubat penyakit itu biasanya telah pun menghidap tibi sebelum masuk ke negara ini," ujar beliau.

Menurut Abdul Razak, keadaan itu telah meningkatkan risiko penyebaran penyakit tibi dalam kalangan penduduk tempatan yang secara langsung atau tidak langsung berinteraksi dengan mereka.

Katanya, kadar penyebaran penyakit itu dalam kalangan mereka juga adalah tinggi kerana golongan tersebut kebiasaannya tinggal beramai-ramai di sebuah rumah.

"Sebuah rumah biasanya didiami oleh kira-kira 40 orang pelarian dan ia memudahkan penyakit itu disebarkan antara mereka kerana keadaan itu pasti mewujudkan sistem pengudaraan yang tidak baik.

"Golongan yang dijangkiti ini pula seterusnya akan ke kawasan awam dan menyebarkan penyakit itu kepada orang ramai," ujarnya.

Selain warga Myanmar, PATI dari Indonesia, Nepal serta Bangladesh turut menyumbang kepada peningkatan penyakit tibi di negara ini.

"Selain pasar malam, pasar-pasar awam juga menjadi kawasan penyebaran penyakit itu seperti Pasar Borong Selayang yang dipenuhi oleh warga Bangladesh," ujarnya.

Drama '99 Kekasih' Mengundang Keinsafan



PETALING JAYA: Bersempena dengan sambutan bulan Ramadan, drama 99 Kekasih bakal mengundang keinsafan dan pengajaran besar buat para penonton.

Bakal disiarkan pada 5 Ogos depan menerusi saluran TVi, 99 Kekasih menampilkan gandingan pelakon utama Erry Pura, Azhan Rani dan Sheera Iskandar.

Ia mengisahkan tentang Danial, seorang kaki perempuan dan sering berfoya-foya dalam kehidupan sehariannya.


Sikapnya buruknya itu mula berubah sejak berkenalan dengan Ayu, gadis yang menyelamatkan dirinya ketika ditimpa kemalangan.

Bagaimanapun, Ayu menghilangkan diri dengan meninggalkan sebuah buku 99 Nama Allah di sisi Danial.

Sejak membaca buku itu, Danial mula berubah sikap dan berharap agar dapat berjumpa dengan gadis yang memberinya buku berkenaan dan harapannya tercapai apabila dia terjumpa sehelai kertas yang mengandungi alamat Ayu.


Danial memberanikan diri untuk berjumpa sendiri dengan Ayu. Selepas beberapa lama berkenalan, Ayu diculik Nina, bekas kekasih Danial yang bengang kerana cintanya tidak dibalas lelaki itu.


Selepas menyelamatkan Ayu yang cedera parah, Danial menghantarnya terus ke hospital dan menderma darah kepada wanita yang dicintainya itu.

Namun, Danial mendapati bahawa dia menghidap HIV positif selepas menderma darah kepada Ayu.

Untuk mengetahui kesudahan penceritaan drama ini, apakah kedua-duanya dapat bersatu atau sebaliknya, saksikan 99 Kekasih pada 5 Ogos ini, pukul 12 tengah hari.

Bekas Isteri Hattan Saman Blog Hiburan Siar Artikel Fitnah


KUALA LUMPUR: Bekas isteri penyanyi popular Hattan menfailkan saman bagi menuntut ganti rugi RM1 juta terhadap pemilik blog hiburan Oh Bulan! kerana menyiarkan artikel fitnah mengenainya.

Noorfarashikin Othman, 32, seorang peniaga, menfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi, pada 3 Julai lalu melalui Tetuan Ranjit Singh & Yeoh dengan menamakan Driven Communications Sdn Bhd sebagai defendan.

Noorfarashikin bercerai dengan Hattan atau nama sebenarnya Datuk Mohd Shukri Sahabuddin selepas dua bulan berkahwin.

Hari ini kes saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin.

Peguam Nizam Bashir yang mewakili Noorfarashikin memberitahu media bahawa mahkamah menetapkan 10 Ogos ini bagi defendan menfailkan pembelaan dan juga pengurusan kes.

Dalam pernyataan tuntutannya, wanita itu antara lain memohon ganti rugi am berjumlah RM1 juta, ganti rugi khas, teruk, teladan dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Noorfarashikin mendakwa pada Januari lepas defendan melalaui laman webwww.ohbulan.com telah menerbitkan satu artikel.

Beliau berkata artikel itu antara lain bermaksud beliau merupakan seorang yang curang, tidak boleh dipercayai dan isteri yang tidak setia.

Wanita itu berkata reputasi peribadi dan profesionalnya telah rosak dan beliau mengalami kesedihan, rasa malu dan tersinggung perasaan akibat penyiaran artikel itu.

Terdahulu, Hattan dan Farah Asyikin, 34, bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah pada 12 januari lalu selepas disatukan pada 11 November 2011 di kediaman penyanyi tersebut di Seri Menanti. - BERNAMA

Sambutan Suram Sebagai Penyanyi Paksa Rizal (AF) Jadi Pelakon


PETALING JAYA: Bekas bintang program realiti Akademi Fantasia ke-5 (AF5), Rizal Ayub mengakui sambutan suram terhadap karier nyanyiannya antara sebab dia lebih banyak tumpuan dalam bidang lakonan.

Rizal atau nama sebenarnya Hasfarizal Ayub, 25, bagaimanapun berkata, itu tidak bererti dia sudah melupakan dunia nyanyian kerana masih mencintai bidang itu.

"Mungkin sekarang bukan rezeki saya untuk menyinar sebagai penyanyi tambahan pula trend muzik sekarang berbeza namun keinginan untuk kembali ke pentas tidak pernah pudar.

"Alhamdulillah tawaran berlakon pula semakin banyak dan saya mengambil peluang dan rezeki ini sebagai ruang untuk memperbaiki diri selain mempelbagaikan cabang karier saya sebagai artis," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, Rizal tidak menafikan masih ada menerima tawaran menyanyi dan berharap kedua-duanya dapat berjalan seiring pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Rizal memberitahu walaupun sedikit kecewa apabila lagu-lagunya jarang berkumandang di stesen radio tempatan dia tidak pernah berputus asa sebaliknya menggunakan cara lain untuk mempromosikan lagu berkenaan.

Menurut Rizal, dia beruntung kerana beberapa syarikat produksi sudi untuk menggunakan lagunya sebagai lagu tema telefilem ataupun drama bersiri sekali gus dapat memberikan promosi kepadanya.

"Nasib baik juga ada yang mahukan lagu saya dijadikan sebagai lagu tema drama-drama dan cara itu boleh menarik perhatian penonton yang mendengar lagu itu.

"Malah single saya yang berjudul Suatu Ketika Dulu yang menjadi lagu latar drama bersiriKekasihku Puyu di TV3 mendapat perhatian penonton sehingga ada yang bertanyakan adakah benar saya yang menyanyikan lagu itu," katanya.

Tambah Rizal, dia juga tidak kisah jika ada pihak melabelkan dirinya sebagai penyanyi lagu tema drama kerana dia telah melakukan yang terbaik bagi mempromosikan lagu berkenaan.

Sementara itu, Rizal memberitahu dia sangat berpuas hati dengan syarikat pengurusannya iaitu Aquila Emas dan sepanjang tempoh setahun bersama mereka karier lakonannya semakin meningkat.

Rizal juga memberitahu dia bakal muncul dengan single terbaru dan kini masih lagi dalam proses penghasilan lagu tersebut selain sebuah telefilem berjudul Bertemu Kasih terbitan syarikat pengurusan itu..
Blogged.my Ping your blog, website, or RSS feed for Free
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...