Advertising

Saturday 28 July 2012

Sambutan Suram Sebagai Penyanyi Paksa Rizal (AF) Jadi Pelakon


PETALING JAYA: Bekas bintang program realiti Akademi Fantasia ke-5 (AF5), Rizal Ayub mengakui sambutan suram terhadap karier nyanyiannya antara sebab dia lebih banyak tumpuan dalam bidang lakonan.

Rizal atau nama sebenarnya Hasfarizal Ayub, 25, bagaimanapun berkata, itu tidak bererti dia sudah melupakan dunia nyanyian kerana masih mencintai bidang itu.

"Mungkin sekarang bukan rezeki saya untuk menyinar sebagai penyanyi tambahan pula trend muzik sekarang berbeza namun keinginan untuk kembali ke pentas tidak pernah pudar.

"Alhamdulillah tawaran berlakon pula semakin banyak dan saya mengambil peluang dan rezeki ini sebagai ruang untuk memperbaiki diri selain mempelbagaikan cabang karier saya sebagai artis," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, Rizal tidak menafikan masih ada menerima tawaran menyanyi dan berharap kedua-duanya dapat berjalan seiring pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Rizal memberitahu walaupun sedikit kecewa apabila lagu-lagunya jarang berkumandang di stesen radio tempatan dia tidak pernah berputus asa sebaliknya menggunakan cara lain untuk mempromosikan lagu berkenaan.

Menurut Rizal, dia beruntung kerana beberapa syarikat produksi sudi untuk menggunakan lagunya sebagai lagu tema telefilem ataupun drama bersiri sekali gus dapat memberikan promosi kepadanya.

"Nasib baik juga ada yang mahukan lagu saya dijadikan sebagai lagu tema drama-drama dan cara itu boleh menarik perhatian penonton yang mendengar lagu itu.

"Malah single saya yang berjudul Suatu Ketika Dulu yang menjadi lagu latar drama bersiriKekasihku Puyu di TV3 mendapat perhatian penonton sehingga ada yang bertanyakan adakah benar saya yang menyanyikan lagu itu," katanya.

Tambah Rizal, dia juga tidak kisah jika ada pihak melabelkan dirinya sebagai penyanyi lagu tema drama kerana dia telah melakukan yang terbaik bagi mempromosikan lagu berkenaan.

Sementara itu, Rizal memberitahu dia sangat berpuas hati dengan syarikat pengurusannya iaitu Aquila Emas dan sepanjang tempoh setahun bersama mereka karier lakonannya semakin meningkat.

Rizal juga memberitahu dia bakal muncul dengan single terbaru dan kini masih lagi dalam proses penghasilan lagu tersebut selain sebuah telefilem berjudul Bertemu Kasih terbitan syarikat pengurusan itu..
Blogged.my Ping your blog, website, or RSS feed for Free
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...