Advertising

Saturday 28 July 2012

Geng Boboy Rawang tumpas


SHAH ALAM – Penjenayah bergelar Geng Boboy Rawang yang baru enam bulan berjinak-jinak untuk menjadi penyamun kereta handalan terbantut apabila ketua kumpulan itu dan 15 ahlinya diberkas dalam beberapa siri tangkapan baru-baru ini.

Kesemua 16 anggota kumpulan itu ditahan dalam Ops Lejang selama 10 hari bermula 10 Julai lalu. Bersama suspek-suspek yang ditahan, polis menemui 12 buah kereta pelbagai jenis, tiga enjin kenderaan dan beberapa komponen motosikal curi yang kesemuanya bernilai lebih RM300,000.

Gelaran Geng Boboy Rawang sempena nama panggilan ketuanya seorang remaja berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah. Kumpulan itu menyamun kenderaan di sekitar Lembah Klang sebelum melakukan kerja-kerja mengubah suai pada nombor casis dan enjin setiap kenderaan curi di sebuah rumah kedai di kawasan Rawang dekat sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas kumpulan tersebut mencuri sebuah kereta Proton Satria GTi seorang pelajar sebuah universiti yang diletakkan di kawasan flat di Seksyen 16 di sini pada 10 Julai lalu.

Menurut beliau, polis yang menjalankan siasatan terhadap kehilangan kereta pelajar itu berjaya mengesan kenderaan tersebut di kawasan Taman Kota Cheras, Batu 9, Cheras.

“Bersama kereta Satria GTi polis menahan dua suspek termasuk Boboy Rawang ketika mereka berada di dalam kereta tersebut.

“Pemeriksaan dalam kereta tersebut menemui pelbagai peralatan untuk mencuri kenderaan seperti batang besi yang diubah suai, tukul besi, pemutar skru dan kunci pendua pelbagai jenis,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Katanya, siasatan ke atas kedua-dua suspek membawa kepada penahanan 14 lagi suspek bersama 11 buah kereta dan komponen kereta curi di sekitar Rawang, Puchong dan Klang.

Antara kereta yang ditemui ialah Proton Waja, Proton Wira, Proton Perdana, Honda Civic, Honda Accord dan Toyota Levin.

“Kumpulan ini menyasarkan kenderaan dilengkapi enjin berkuasa tinggi untuk dicuri.

“Selepas dicuri, kenderaan tersebut dibawa ke sebuah premis di Rawang bagi mengubah suai nombor casis dan nombor enjin pada kenderaan tersebut,” kata beliau.
Blogged.my Ping your blog, website, or RSS feed for Free
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...