Sunday, 5 August 2012
Kelar tangan elak ditahan
KUALA LUMPUR - Seramai 54 orang gelandangan termasuk 11 daripadanya warga asing ditahan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Ops Gelandangan pada malam kelmarin.
Malah terdapat dalam kalangan mereka sanggup bertindak mencederakan diri sendiri dengan mengelar bahagian pergelangan tangan bagi mengelakkan ditahan dalam operasi tersebut.
Sebahagian besar daripada mereka ketika ditahan sedang asyik tidur di kaki lima bangunan pejabat dan kedai di beberapa jalan utama sekitar ibu kota.
Antara kawasan operasi ialah Pasar Seni, Dataran Merdeka, Jalan Masjid Negara, Menara Maybank, Jalan Masjid India dan Kompleks Beli-Belah Cahaya Suria.
Operasi selama enam jam bermula pukul 10 malam yang diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail itu merupakan kali keenam dilakukan secara besar-besaran bertujuan membendung kehadiran orang gelandangan di ibu negara pada tahun ini.
Operasi yang berakhir sekitar pukul 4 pagi semalam itu turut melibatkan anggota seramai 105 orang daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Osman memberitahu, operasi tersebut bertujuan membersihkan ibu negara daripada kehadiran golongan berkenaan yang terdiri daripada kutu rayau, penagih dadah dan pengemis terutamanya melibatkan gelandangan warga asing.
"Tujuh daripada mereka yang ditahan itu didapati positif dadah dan diserahkan kepada AADK manakala lima lagi lelaki diserahkan kepada JKM untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.
Atlet pengsan dibelasah senior
KOTA TINGGI – Gara-gara menegur sekumpulan pelajar membuat bising, seorang pelajar lelaki tingkatan lima di sebuah sekolah asrama di Bandar Penawar di sini mendakwa pengsan akibat dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior pada Khamis lalu. Dalam kejadian itu, Mohd. Amirul Mukmin Mohd. Yusmiza, 17, yang merupakan atlet olahraga dan atlet pelapis kebangsaan mengalami lebam di belakang badan, paha, dada dan tangan.
Menceritakan semula kejadian malang itu, Mohd. Amirul memberitahu, dia yang sedang nyenyak tidur pada pukul 1 pagi telah dikejutkan oleh seorang pelajar yang tidak dikenali memaklumkan ada pelajar senior mahu berjumpa dengannya. “Pada pertemuan itu, salah seorang daripada mereka (senior) bertanya beberapa soalan sebelum saya dipukul bertubi-tubi sehingga pengsan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dakwa pelajar itu, selepas kejadian tersebut, dia yang tidak sedarkan diri tidak mengetahui apa yang berlaku ke atas dirinya dan hanya tersedar ketika rakan-rakan sebilik sedang bersiap hendak bersahur.
Mohd. Amirul mengaku sebelum dibelasah, dia ada menegur sekumpulan pelajar junior supaya tidak membuat bising kerana dikhuatiri mengganggu pelajar lain yang hendak tidur. “Saya tidak menyangka tindakan itu telah diadukan kepada pelajar senior sehingga saya dibelasah sebegini,” katanya yang membuat laporan sambil ditemani ibunya, Norakma Mohidin di Balai Polis Bandar Penawar kelmarin.
Sementara itu, ayah mangsa, Mohd. Yusmida Mohd. Yunus, 41, meluahkan rasa terkilan berhubung kejadian itu yang diketahui menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh anaknya sendiri. “Kejadian tersebut sepatutnya dimaklumkan oleh pihak sekolah, sebaliknya kami mendapat tahu daripada Mohd. Amirul sendiri. “Mujurlah dia mengirim SMS, jika tidak pasti hingga sekarang kami tidak akan tahu kejadian ini,” katanya yang berharap pihak sekolah lebih peka termasuk mengambil tindakan tegas terhadap pelajar terlibat. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik mengesahkan kejadian itu. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.
Jerit mahu pulang sebelum terjun
MIRI - Beratus-ratus penumpang sebuah pesawat AirAsia Berhad (AirAsia) menghadapi saat cemas apabila seorang penumpang bertindak membuka pintu kecemasan lalu terjun ketika pesawat itu dalam kedudukan sedia untuk berlepas di Lapangan Terbang Miri di sini malam kelmarin.
Lebih mengejutkan, siasatan mendapati penumpang berkenaan yang dikenali sebagai Chong, 24, dipercayai staf syarikat penerbangan tambang murah itu sendiri.
Pada hari berkenaan, dia tidak bekerja tetapi menaiki pesawat AK587 itu bersama teman wanitanya untuk menuju ke Kuala Lumpur.
Kosmo! Ahad difahamkan, tindakan lelaki itu membuka pintu kecemasan yang terletak di bahagian tengah pesawat menyebabkan pesawat tersebut berhenti serta-merta.
Keadaan itu mencetuskan situasi panik dalam kalangan penumpang.
Sementara itu, seorang penumpang yang menaiki penerbangan sama berkata, sebaik pesawat tersebut hendak berlepas, lelaki itu menjerit 'saya mahu pulang' sebelum dia meninggalkan kerusinya dan membuka pintu kecemasan.
"Ketika pesawat itu sedang bergerak perlahan untuk berlepas, tiba-tiba lelaki tersebut buka pintu kecemasan di sebelah kanan pesawat dan terjun sekali gus menyebabkan pesawat berhenti mengejut.
"Penumpang lain mula menjerit dan panik. Punca dia bertindak demikian masih kurang jelas," kata saksi itu.
Pengarah Operasi Penerbangan AirAsia, Kapten Datuk Fareh Ishraf Mazputra (gambar kecil) berkata, penumpang yang terjun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Lelaki itu kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk menerima rawatan.
Kejadian tersebut menyebabkan penerbangan tersebut tergendala dan penerbangan hanya dapat diteruskan pada pukul 11 malam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, setakat ini polis masih mengumpul maklumat mengenai kejadian itu dan siasatan giat dijalankan berhubung kejadian tersebut.
3 anggota kumpulan samun mati ditembak
GEORGETOWN — Tiga lelaki dipercayai anggota kumpulan ”Lima” yang aktif merompak di beberapa daerah di negeri ini, maut ditembak polis ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Jesselton, Pulau Tikus, dekat sini hari ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Rahim Hanafi berkata, polis terpaksa melepaskan tembakan apabila tiga suspek yang bersenjatakan parang bertindak agresif cuba menyerang anggota pasukan keselamatan itu.
"Pada kejadian pukul 3.30 pagi tadi itu, kita menerima laporan orang awam yang mengatakan tiga lelaki terbabit sedang dalam percubaan memecah masuk sebuah rumah di situ.
"Polis yang tiba di lokasi mengarahkan suspek menyerah diri namun mereka bertindak agresif menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya, tiga suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu maut di lokasi kejadian.
Abd. Rahim berkata, kumpulan ”Lima” yang dianggotai warga asing itu aktif memecah masuk dan merompak kawasan perumahan sekitar Tanjung Tokong, Jelutong dan Pulau Tikus.
"Kumpulan ini bergerak dengan berjalan kaki serta hanya menggunakan pemutar skru dan pemotong besi untuk menjalankan kegiatan mereka,” katanya.
Mereka dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 18 kes sejak Januari lepas, membabitkan kerugian lebih RM500,000, katanya.
Beliau berkata, polis kini mengesan saki-baki anggota kumpulan itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membuat laporan di balai polis berdekatan. — BERNAMA
Olimpik: Pelumba Basikal Azizulhasni Kini Berjaya Ke Suku Akhir
LONDON: Pelumba basikal negara, Mohd Azizulhasni Awang menampilkan aksi cemerlang di Velodrom London apabila menempah tempat ke suku akhir acara pecut lelaki Sukan Olimpik 2012.
Bagaimanapun tugas getir menanti Mohd Azizulhasni di suku akhir kerana beliau akan berdepan pelumba Britain, Jason Kenny yang hari ini melakukan masa terpantas dalam sesi kelayakan serta mencatatkan rekod baharu Olimpik dalam acara itu.
Pelumba Britain itu mencatatkan 9.713 saat untuk memperbaharui catatan 9.815s yang dilakukan rakan senegaranya, Chris Hoy pada Sukan Olimpik Beijing 2008.
Pelumba kelahiran Terengganu yang digelar 'The Pocketrocketman' itu, memulakan saingan acara itu dengan mencatatkan masa 10.226 saat pada sesi kelayakan untuk berada pada kedudukan ke-11 dalam kalangan 17 pelumba.
Pada pusingan pertama, Mohd Azizulhasni menumpaskan pelumba China, Zhang Miao sebelum tewas kepada Denis Dmitriev dari Rusia pada pusingan kedua.
Pada aksi sukar kerana terpaksa mengharungi perlumbaan repechages akhir, pelumba negara itu yang berpangkalan latihan di Melbourne unggul menduduki tempat teratas dalam kalangan tiga pelumba untuk layak ke suku akhir yang akan berlangsung Ahad.
Beliau mengenepikan cabaran pelumba Jepun, Seiichiro Nakagawa dan Hersony Canelon dari Venezuela dalam saingan tersebut.
Pengurus pasukan Malaysia, Datuk Naim Mohamad, bagaimanapun yakin Mohd Azizulhasni mampu mengalahkan pelumba Britain itu jika beliau berada pada prestasi cemerlangnya.
"Pada hari ini, 17 pelumba bersaing pada sesi kelayakan tetapi esok Mohd Azizulhasni akan berdepan satu lawan satu dengan Kenny, yang akan memberi lebih banyak ruang kepadanya membuat pecutan," kata Naim.
Pada Sukan Olimpik Beijing, cabaran Mohd Azizulhasni berakhir di peringkat suku akhir. - BERNAMA
Anak Anne Ngasri Panggil Alif Aziz 'Daddy'
PETALING JAYA:Pelakon Anne Ngasri mengakui tiga anaknya memanggil kekasihnya iaitu penyanyi dari Singapura, Alif Aziz dengan panggilan 'daddy'.
Anne atau nama sebenarnya Ngasriah Ngasri, 28, berkata, anak-anaknya iaitu Abdul Warits, 4, Abdul Wafri, 3 dan Nazharah Afrozah, 2, sangat rapat dengan Alif kerana sering menghabiskan masa bersama-sama.
"Anak-anak memang rapat dengan Alif dan mereka memanggilnya dengan panggilan 'daddy'.
"Alif juga tidak kekok melayan karenah mereka dan menerima anak-anak saya dengan hati terbuka," ujarnya kepada mStar Online.
Tambah Anne, walaupun Alif masih muda tetapi sifat matang dan bertanggungjawab penyanyi berusia 21 tahun itu telah membuatkan dia semakin selesa bersamanya.
"Usia bagi saya bukan ukuran tetapi kematangannya yang membuatkan saya selesa untuk berkawan dengannya," ujarnya.
Dalam pada itu, Anne memberitahu keluarga kedua-dua belah pihak merestui hubungan cinta mereka terutama keluarga Alif yang begitu menyenangi kehadirannya dan anak-anak.
Ujar Anne, restu keluarga adalah sangat penting dan dia bertambah yakin untuk meneruskan hubungan bersama Alif kerana faktor tersebut.
"Saya adalah seorang ibu tunggal dengan tiga anak dan memang risau jika keluarga Alif tidak dapat menerima saya. Tetapi Alhamdulillahlah keluarga kedua-dua belah pihak menerima hubungan kami dengan baik," katanya.
Sementara itu, Anne menjelaskan hubungannya dengan bekas suami, Abdul Wafi Hassan juga sangat baik dan dia tidak membelakangkan tanggungjawab sebagai bapa kepada anak mereka.
Anne memberitahu walaupun sudah berpisah hubungan ibu, bapa dan anak haruslah rapat bagi memastikan mereka mendapat kasih sayang sepenuhnya.
Dalam perkembangan lain, Anne memberitahu selain sibuk di lokasi penggambaran filemPengapit dia bakal sibuk dengan beberapa lagi projek selepas Hari Raya nanti.
Wednesday, 1 August 2012
Gambar: Siti Saleha Wajah LISA Ogos 2012 & Akui Syed Adney Hanya Kawan
Musim perayaan memang satu musim menarik untuk industri majalah di Malaysia. Berlumba untuk terbitkan edisi yang terbaik & paling untung adalah kami si plagiat. HAHA!
Majalah yang masih baru di’pasaran, Lisa sehingga hari ini agak jarang mengecewakan dengan penampilan segar selebriti sebagai penghias muka hadapan dalam setiap edisi.
Untuk edisi Ogos 2012 yang menampilkan konsep Ranggi Raya, Lisa menampilkan aktress yang semakin meningat naik dalam kelas’nya tersendiri, Siti Saleha.
Memetik temubual Lisa bersama Siti Saleha untuk edisi kali ini, pastinya soalan berkaitan hubungan beliau dengan pemain bola sepak Sabah FA bernama Syed Adney menjadi pilihan.
Namun menurut adik perempuan Sam Bunkface ini, hubungan beliau dan Syed Adney tidak lebih dari sekadar kawan dan jejaka itu pun sendiri mengesahkan melalui Twitter.
Siti Saleha menambah yang beliau sebenarnya tidak mahu terlalu mendedahkan akan kisah peribadi & kehidupan beliau kepada umum dan menjadikan pendekatan Sofia Jane sebagai contoh.
Apa lagi yang Siti Saleha bicarakan dalam Lisa edisi kali ini? Dapatkan naskah anda hari ini di’kedai majalah berdekatan. Hanya RM3.90. (Kami tidak di’bayar, kami harap, tetapi tidak)
Sunday, 29 July 2012
Harimau Malaya sudah bersedia
MALAYSIA sudah bersedia untuk 'melayan' juara Liga Perdana England, Manchester City di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.
Pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal berkata, keazaman untuk melakarkan kejutan ke atas skuad kendalian Roberto Mancini itu sangat ketara kerana ia dianggap sebagai jalan terbaik bagi 'menebus' kekecewaan selepas tewas tipis 1-2 kepada Arsenal, Selasa lalu.
Begitupun, Rajogobal tidak mahu memberikan sebarang tekanan kerana beliau inginkan anak-anak buahnya mengulangi semangat dan keyakinan tinggi yang dipamerkan ketika menentang skuad The Gunners.
Beliau yakin skuad negara akan memanfaatkan peluang dan pengalaman pada aksi menentang Arsenal dan skuad The Citizens sebagai persiapan serta pendedahan terbaik menjelang kempen Piala Suzuki AFF bermula November depan.
"Keyakinan itu berbeza berbanding sebelum ini. Saya mahu mereka (Harimau Malaya) kekalkan keyakinan itu dan teruskan kesungguhan dalam setiap perlawanan.
"Bermain dengan pasukan, pemain terkenal seperti City dapat meningkatkan motivasi serta kesungguhan pemain kepada suatu tahap yang berbeza.
"Kalau kita boleh bermain dengan baik atau sekurang-kurangnya mencipta peluang untuk jaringan gol menentang pemain-pemain terbaik di dunia, itu adalah tanda-tanda yang baik bagi persiapan Piala Suzuki AFF.
"Saya mahu lihat pemain kita yang mana 'jangan terlalu takut', bermain dengan keyakinan tanpa sebarang tekanan.
"Mungkin (lebih penting adalah) kita mahu mengingatkan kepada pemain agar tidak mengulangi kesilapan ketika menentang Arsenal," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sempena ketibaan City di Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan semalam.
Ditanya mengenai perubahan corak taktikal ketika melayan kunjungan City, Rajagobal menegaskan yang beliau perlu mencari pemain-pemain alternatif selepas senarai kecederaan pemain semakin meningkat.
Tambahnya, beliau berharap mentaliti penyokong berubah lebih ke arah positif kerana ketika ini skuad negara dalam proses 'pembelajaran' bagi menentang Arsenal dan City.
"Saya terpaksa menggantikan pemain selepas Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Subramaniam, Mohd. Bunyamin Umar dan Mohd. Azmi Muslim mengalami kecederaan ketika menentang Arsenal," katanya.
Sementara itu, Mancini yang menyaksikan City menewaskan Arsenal 2-0, pada aksi persahabatan di Hong Kong kelmarin menganggap kunjungan pertama ke ibu negara sangat istimewa.
Katanya, beliau bersedia untuk memberikan aksi terbaik ketika menentang Harimau Malaya dan mahu menilai sebahagian pemain bagi diserapkan ke skuad utama.
"Saya harap perlawanan ini dapat membantu kami mempertingkatkan keupayaan pasukan.
"Apa yang boleh saya beritahu, saya mahu jadikan perlawanan itu lebih baik.
"Walaupun hanya aksi persahabatan, ianya cukup penting kerana ia membabitkan jelajah pramusim untuk menilai kelemahan dan kelebihan pasukan kami.
"Saya akan memastikan yang terbaik pada perlawanan (menentang Harimau Malaya) itu," katanya.
Dapatkan Pelbagai Jenis Baju dan Tudung Raya di Galeri Tudung KLIK!..
Lagu raya Dafi
SEJAK kebelakangan ini, Dafi atau nama sebenar Ghadaffi Ismail Sabri banyak menghabiskan masa di negara jiran, Indonesia.
Mengendalikan program Selebrita Siang yang bersiaran pada pukul 12 tengah hari, setiap Isnin hingga Rabu di saluran Trans7, Dafi mengaku kehidupan di negara orang membuatkan masanya lebih banyak habis di set penggambaran dan rumah. Dia juga menegaskan bahawa sejak bekerja dengan tenaga kerja luar, dia berasakan Malaysia mempunyai kualiti kerja yang bagus berbanding negara-negara lain.
"Bagi orang yang merasakan negara lain lebih berkualiti daripada Malaysia, saya mahu katakan bahawa kualiti dan tenaga kerja kita adalah setanding dengan negara lain," ujarnya yang ditemui ketika majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim Rumah Amal Limpahan Kasih tajaan Hotel Royale Bintang, The Curve pada Selasa lalu.
Dalam selang masa sibuk membawa nama sendiri dan negara di negara luar, Dafi sempat juga merakamkan sebuah lagu raya yang memang sudah lama diidamkannya.
"Saya memang sudah lama mahukan sebuah lagu raya sendiri. Sebelum ini hanya menyanyi beramai-ramai lepas keluar Akademi Fantasia dahulu. Kini salah satu impian saya tercapai," ujarnya yang menyanyikan lagu Nikmat Lebaran gubahan Pak Ngah dan lirik oleh Siso.
Dapatkan Pelbagai Jenis Baju dan Tudung Raya di Galeri Tudung KLIK!..
Subscribe to:
Posts (Atom)











