Advertising

Sunday 5 August 2012

Atlet pengsan dibelasah senior


KOTA TINGGI – Gara-gara menegur sekumpulan pelajar membuat bising, seorang pelajar lelaki tingkatan lima di sebuah sekolah asrama di Bandar Penawar di sini mendakwa pengsan akibat dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior pada Khamis lalu. Dalam kejadian itu, Mohd. Amirul Mukmin Mohd. Yusmiza, 17, yang merupakan atlet olahraga dan atlet pelapis kebangsaan mengalami lebam di belakang badan, paha, dada dan tangan.

Menceritakan semula kejadian malang itu, Mohd. Amirul memberitahu, dia yang sedang nyenyak tidur pada pukul 1 pagi telah dikejutkan oleh seorang pelajar yang tidak dikenali memaklumkan ada pelajar senior mahu berjumpa dengannya. “Pada pertemuan itu, salah seorang daripada mereka (senior) bertanya beberapa soalan sebelum saya dipukul bertubi-tubi sehingga pengsan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dakwa pelajar itu, selepas kejadian tersebut, dia yang tidak sedarkan diri tidak mengetahui apa yang berlaku ke atas dirinya dan hanya tersedar ketika rakan-rakan sebilik sedang bersiap hendak bersahur.

Mohd. Amirul mengaku sebelum dibelasah, dia ada menegur sekumpulan pelajar junior supaya tidak membuat bising kerana dikhuatiri mengganggu pelajar lain yang hendak tidur. “Saya tidak menyangka tindakan itu telah diadukan kepada pelajar senior sehingga saya dibelasah sebegini,” katanya yang membuat laporan sambil ditemani ibunya, Norakma Mohidin di Balai Polis Bandar Penawar kelmarin.

Sementara itu, ayah mangsa, Mohd. Yusmida Mohd. Yunus, 41, meluahkan rasa terkilan berhubung kejadian itu yang diketahui menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh anaknya sendiri. “Kejadian tersebut sepatutnya dimaklumkan oleh pihak sekolah, sebaliknya kami mendapat tahu daripada Mohd. Amirul sendiri. “Mujurlah dia mengirim SMS, jika tidak pasti hingga sekarang kami tidak akan tahu kejadian ini,” katanya yang berharap pihak sekolah lebih peka termasuk mengambil tindakan tegas terhadap pelajar terlibat. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik mengesahkan kejadian itu. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.
Blogged.my Ping your blog, website, or RSS feed for Free
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...