Advertising

Sunday 5 August 2012

Kelar tangan elak ditahan


KUALA LUMPUR - Seramai 54 orang gelandangan termasuk 11 daripadanya warga asing ditahan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Ops Gelandangan pada malam kelmarin.

Malah terdapat dalam kalangan mereka sanggup bertindak mencederakan diri sendiri dengan mengelar bahagian pergelangan tangan bagi mengelakkan ditahan dalam operasi tersebut.

Sebahagian besar daripada mereka ketika ditahan sedang asyik tidur di kaki lima bangunan pejabat dan kedai di beberapa jalan utama sekitar ibu kota.

Antara kawasan operasi ialah Pasar Seni, Dataran Merdeka, Jalan Masjid Negara, Menara Maybank, Jalan Masjid India dan Kompleks Beli-Belah Cahaya Suria.

Operasi selama enam jam bermula pukul 10 malam yang diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail itu merupakan kali keenam dilakukan secara besar-besaran bertujuan membendung kehadiran orang gelandangan di ibu negara pada tahun ini.

Operasi yang berakhir sekitar pukul 4 pagi semalam itu turut melibatkan anggota seramai 105 orang daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Osman memberitahu, operasi tersebut bertujuan membersihkan ibu negara daripada kehadiran golongan berkenaan yang terdiri daripada kutu rayau, penagih dadah dan pengemis terutamanya melibatkan gelandangan warga asing.

"Tujuh daripada mereka yang ditahan itu didapati positif dadah dan diserahkan kepada AADK manakala lima lagi lelaki diserahkan kepada JKM untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

Blogged.my Ping your blog, website, or RSS feed for Free
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...