Advertising

Sunday 5 August 2012

3 anggota kumpulan samun mati ditembak



GEORGETOWN — Tiga lelaki dipercayai anggota kumpulan ”Lima” yang aktif merompak di beberapa daerah di negeri ini, maut ditembak polis ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di Taman Jesselton, Pulau Tikus, dekat sini hari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Rahim Hanafi berkata, polis terpaksa melepaskan tembakan apabila tiga suspek yang bersenjatakan parang bertindak agresif cuba menyerang anggota pasukan keselamatan itu.

"Pada kejadian pukul 3.30 pagi tadi itu, kita menerima laporan orang awam yang mengatakan tiga lelaki terbabit sedang dalam percubaan memecah masuk sebuah rumah di situ.

"Polis yang tiba di lokasi mengarahkan suspek menyerah diri namun mereka bertindak agresif menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, tiga suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu maut di lokasi kejadian.

Abd. Rahim berkata, kumpulan ”Lima” yang dianggotai warga asing itu aktif memecah masuk dan merompak kawasan perumahan sekitar Tanjung Tokong, Jelutong dan Pulau Tikus.

"Kumpulan ini bergerak dengan berjalan kaki serta hanya menggunakan pemutar skru dan pemotong besi untuk menjalankan kegiatan mereka,” katanya.

Mereka dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 18 kes sejak Januari lepas, membabitkan kerugian lebih RM500,000, katanya.

Beliau berkata, polis kini mengesan saki-baki anggota kumpulan itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membuat laporan di balai polis berdekatan. — BERNAMA

Blogged.my Ping your blog, website, or RSS feed for Free
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...