Advertising

Sunday 5 August 2012

Enggan komen, serah kepada peguam


KES saman-menyaman melibatkan artis bukan berita luar biasa dalam industri hiburan tempatan. Saman juga tidak mengenal jumlah bintang atau pencapaian artis. Terbaharu, satu surat saman kepada pelantun lagu Awan Nano, Hafiz mengejutkan ramai.

Hafiz disaman bekas pengurus pentas sebuah rancangan hiburan Astro, Nur Haniza Mohd. Azhar, 25, kerana jejaka dari Kuching, Sarawak itu didakwa menyebabkan kecederaan kepadanya.

Dalam fail tuntutannya, Nur Haniza selaku plaintif menamakan Hafiz atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip sebagai defendan bagi menuntut ganti rugi lebih RM200,000.

Saman itu dihantar ke pejabat pendaftar Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur menerusi Tetuan Boestamam Ahmad & Co, Selasa lalu.

Sebagai juara program realiti hiburan Akademi Fantasia musim ketujuh dan pemenang anugerah Vokal Lelaki Terbaik untuk dua tahun berturut-turut pada Anugerah Juara Lagu, pada usia 22 tahun, Hafiz dilihat sebagai bintang yang sedang berada di puncak.

Digemparkan dengan kes saman gara-gara satu perselisihan faham yang berlaku setahun lalu sedikit sebanyak meninggalkan garis hitam pada namanya.

"Memang benar itu cerita lama, cerita tahun lepas, tapi buat masa ini, saya dinasihatkan supaya tidak mengulas panjang tentang isu saman berkenaan.

"Saya dapat tahu berita saman itu pun selepas diberitahu pihak pengurusan dan kenyataan dalam surat khabar. Saya sebenarnya baru balik dari Indonesia. Jadi, saya tidak boleh komen apa-apa. Selebihnya, saya serahkan kepada peguam," jelas Hafiz ketika ditemui Sensasi Bintang, usai majlis berbuka puasa dan pelancaran program Aidilfitri Astro di Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Hafiz juga enggan mengulas lanjut berhubung status peguam yang mewakilinya.

Kedengaran sangat klise, tetapi itulah lumrah jawapan artis saat berdepan kes mahkamah. Segalanya akan diuruskan oleh pihak peguam dan perkembangan terkini hanya terbuka luas apabila masing-masing hadir ke mahkamah lengkap berkaca mata hitam.

Ditebak juga, jika kebenaran berada di pihaknya, untuk apa Hafiz perlu berasa gentar mempertahankan diri?

"Memanglah berani kerana benar, tapi saya takut tersalah memberi kenyataan. Jadi, lebih baik saya dahulukan dengan 'no komen' kerana yang sedang menanggungnya saya. Saya yang kena nanti," getus Hafiz yang masih mampu tersenyum lebar.

Berhubung saman yang difailkan, sebelum ini Nur Haniza mendakwa dia sudah menyerahkan notis tuntutan bertarikh 25 Jun lepas supaya Hafiz memohon maaf dan membayar ganti rugi tetapi Hafiz menafikan ada mencederakannya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nur Haniza mendakwa Hafiz telah menepuk bahunya dari belakang dan mendesak untuk berjumpa dengannya.

Ketika itu Nur Haniza sedang bertugas sebagai pengurus pentas untuk rancangan Salih Yaacob Show di Studio Filem Negara pada pukul 3.15 petang, 17 Mei tahun lepas.

Nur Haniza mendakwa, dia menolak pelawaan Hafiz secara baik kerana sedang sibuk. Ketika sedang menuruni tangga studio untuk meneruskan tugasnya, Hafiz bertindak agresif dengan menolaknya sehingga jatuh tersungkur di hadapan rakan sekerjanya.

Tindakan Hafiz itu menyebabkan Nur Haniza mengalami kecederaan pada bahagian kaki, Hafiz malangnya tidak berbuat apa-apa.

Akibat kejadian itu, Nur Haniza masih berasa sakit pada kaki kanannya dan hilang mata pencarian kerana disenarai hitam daripada bekerja untuk rancangan terbitan Astro. Dia juga terpaksa menanggung malu selepas kejadian itu yang turut disiarkan media.

Oleh itu, Nur Haniza menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi kehilangan aminiti, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Blogged.my Ping your blog, website, or RSS feed for Free
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...