Advertising

Wednesday 29 August 2012

Noh Hujan, Mizz Nina Berlakon


NAMA pasangan suami isteri Mohammad Noh Salleh, 27, dan Shazrina Azman, 32, atau lebih sinonim dengan panggilan Mizz Nina sudah semestinya cukup gah sebagai antara penyanyi di negara ini.

Noh dikenali ramai selaku vokalis kumpulan Hujan yang baru sahaja muncul juara program Versus pada Jun lalu, manakala isterinya pula sudah acap kali berkolaborasi dengan ramai penyanyi antarabangsa.

Dengan nama kedua-duanya yang sudah semakin kukuh dalam industri nyanyian, ternyata wajah Noh dan Mizz Nina kini dapat disaksikan pula di layar perak menerusi filem berjudul Hantu Gangster.

Menceritakan tentang pembabitan mereka dalam filem berunsur komedi seram itu, Noh yang ditemui pada acara malam gala filem berkenaan di GSC Maxx Berjaya Times Square menyatakan semuanya berlaku secara kebetulan.

"Penerbit Eksekutif filem ini iaitu Fred Chong dan saya memang sudah lama saling mengenali. Jadi dia telah mengajak saya untuk sama-sama terbabit dalam filem ini.

"Kemudian saya beritahu supaya tidak mengajak saya seorang sahaja, sebaliknya saya turut mencadangkan nama Nina untuk terbabit sama dan persetujuan akhirnya dicapai apabila Fred bersetuju dengan cadangan tersebut," jelasnya.

Menurut Noh, biarpun penampilannya dalam filem berkenaan hanya sebagai cameo, pengalaman dapat terbabit dalam penggambaran filem dianggap cukup bermakna, malah layanan yang diterima daripada pihak produksi juga sangat memuaskan.

Ujarnya, sebagai individu yang langsung tidak ada sebarang pengalaman atau latar belakang dalam lakonan, dia teruja kerana banyak yang dipelajari tentang selok-belok dunia lakonan.

"Kalau setakat penggambaran yang dilakukan berulang kali itu pastinya normal buat orang seperti saya yang tidak pernah terfikir untuk berlakon filem, namun pengalaman yang diraih itu ternyata lebih berharga," ujarnya yang pernah muncul dalam drama Projek Pop bersama kumpulan Hujan sebelum ini.

Ditanya sama ada pembabitannya dalam filem berkenaan sebagai langkah awal untuk dia terjun ke bidang lakonan, Noh menegaskan ia sekadar percubaan dan tidak pernah terfikir untuk serius berlakon.

Jelas Noh, pembabitannya dalam filem tersebut juga lebih kepada memenuhi permintaan rakannya yang beria-ia mahukan dirinya dapat tampil dalam filem tersebut.

"Lagipun saya sekadar muncul sebagai cameo dan watak yang diberikan tidaklah terlalu besar. Kalau saya disuruh membawakan watak utama, secara jujurnya memang saya tidak akan melakukannya.

"Rasanya lebih baik kalau saya terus beri fokus kepada dunia nyanyian sahaja, namun saya akan mempertimbangkan kalau ada lagi menerima sebarang watak yang kecil," ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya tentang projek terbaharu Hujan, Noh menjelaskan kumpulannya bakal mengadakan konsert siri jelajah di beberapa buah lokasi yang akan ditentukan kemudian.

Menurutnya, konsert berkenaan diadakan sebagai satu penghargaan istimewa kepada peminat yang telah banyak menyokong mereka sehingga muncul juara program Versus dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM200,000.

"Kalau mengikut perancangan, konsert ini akan bermula selepas hari raya nanti. Namun, buat masa sekarang kami masih lagi dalam peringkat perbincangan mengenai lokasi konsert yang bakal berlangsung," ujarnya.

Sekadar mencuba

Berkenaan dengan pembabitan dalam bidang lakonan, Mizz Nina turut mempunyai pandangan yang sama seperti suaminya iaitu tidak mahu serius berlakon dan mahu memberi sepenuh komitmen kepada nyanyian.

Jelas Nina, dia juga sekadar tampil sebagai cameo dalam filem Hantu Gangster dan terbabit secara tidak sengaja memandangkan Noh terlebih dahulu ditawarkan untuk berlakon.

"Kalau diikutkan cuma Noh yang terbabit dalam filem ini, tetapi dia telah mencadangkan nama saya sekali. Bila difikirkan inilah masanya untuk saya mencuba bidang yang baharu.

"Namun, saya tidak pernah terfikir untuk lebih serius dalam lakonan kerana minat saya memang dalam bidang nyanyian. Asalkan mendapat pengalaman itu sudah bermakna buat diri saya," ujarnya.

Menerusi percubaan sulungnya itu, penyanyi tersebut memberitahu banyak pengalaman menarik yang diperoleh, termasuk bekerjasama dengan ramai pelakon popular tanah air.

"Sekarang ini saya sudah dapat sedikit pengetahuan tentang kerja-kerja penerbitan sesebuah filem. Malah, saya dapat rasa kerjaya sebagai seorang pelakon ini bukanlah mudah," jelasnya.

Lancar album

Jika suaminya bakal mengadakan konsert siri jelajah bersama kumpulan Hujan, ternyata Mizz Nina juga turut mempunyai perancangan yang sama dengan mengadakan konsert di beberapa buah lokasi seperti Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.

Selain itu, penyanyi yang popular menerusi lagu What You Waiting For itu bakal meluaskan sayapnya ke Australia untuk mengadakan mini konsert serta pelancaran album keduanya iaitu Take Over.

"Mungkin pada bulan Oktober ini saya akan pergi ke Melbourne, Australia dan mengadakan majlis pelancaran album terbaharu saya di sana. Sebelum ini album berkenaan terlebih dahulu dilancarkan di Malaysia sekitar bulan Mei lalu.

"Tujuan saya ke sana kerana mahu cuba untuk menembusi pasaran jualan album serta mengembangkan lagi karier nyanyian saya. Sudah tentu saya berharap dapat diterima peminat di negara tersebut," jelasnya.

Menurut Nina, pada masa yang sama muzik video terbaharunya untuk lagu Summer Burning bakal dilancarkan selepas hari raya ini. Dalam muzik video tersebut dia bergandingan dengan DJ Poet.

"Lagu Summer Burning ini tidak terkandung dalam album baharu saya, sebaliknya ia dihasilkan untuk single sahaja. Saya beruntung kerana dapat berkolaborasi dengan DJ Poet kerana dia sememangnya agak terkenal dan pernah bekerjasama dengan kumpulan Black Eyed Peas," ujarnya,

No comments:

Blogged.my Ping your blog, website, or RSS feed for Free
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...